Perkukuh benteng negara: KDN

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh benteng keselamatan negara dengan menyerahkan tiga aset baharu kepada pasukan keselamatan, termasuk dua bot jenis Rigid Hull Fenders Boat bernilai keseluruhan RM4.4 juta.

Langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan kawalan serta rondaan di kawasan perairan strategik, khususnya di zon yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata dua bot diserahkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala sebuah lagi kepada Pasukan Polis Marin (PPM) yang ditempatkan di bawah Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Beliau menjelaskan, penyerahan berkenaan merupakan sebahagian daripada fasa kedua pelaksanaan Strategi Kawalan Operasi Perairan (SKOP), yang menumpukan kepada aspek pengukuhan kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan operasi pasukan di lapangan.

“Penyerahan bot ini meningkatkan keupayaan rondaan kita. Rondaan dari PGA dan ESSCOM di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti tentunya terus meningkatkan keyakinan kita dengan pengerahan bot yang mempunyai keistimewaannya sendiri.

“Yang penting, bot ini berupaya melakukan tindak balas pantas terhadap ancaman dan aktiviti penyeludupan yang berlaku,” katanya.

Menurut Shamsul, projek bernilai RM4.4 juta itu berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal berkat disiplin serta komitmen tinggi pasukan pelaksana.

Katanya, kehadiran bot-bot baharu itu akan memperkasa rondaan PGA dan PPM di kawasan operasi strategik yang telah dikenal pasti, sekali gus meningkatkan keberkesanan operasi dan tindak balas pantas pasukan keselamatan di lapangan.

Beliau menegaskan, KDN sentiasa menilai keperluan semasa selain berusaha menambah baik aset serta keupayaan teknikal pasukan keselamatan di bawah pelaksanaan SKOP bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Terdahulu, Shamsul mengadakan lawatan kerja dan sesi ramah mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu serta Pejabat ESSCOM di sini.

Tinggalkan komen