KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menzahirkan bahawa UMNO Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, keputusan itu adalah kemenangan besar bagi rakyat Sabah setelah hak ini dinafikan sejak tahun 1974.
”UMNO Sabah mendesak Pejabat Peguam Negara agar tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan ini dan ia hanya akan menambah luka lama dan menjejaskan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Bung, jika Peguam Negara tetap meneruskan rayuan, UMNO SABAH tidak akan mendesak Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk membawa usul bantahan kepada Perdana Menteri supaya keputusan mahkamah ini dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan.
“Kami juga menggesa agar penaksir bebas dilantik segera untuk menilai jumlah sebenar hasil tertunggak sejak 1974 kerana langkah ini penting agar pengiraan dan pembayaran dibuat dengan adil, telus, dan selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
”UMNO Sabah merakamkan penghargaan kepada Sabah Law Society (SLS) atas keberanian dan ketekunan mereka membawa kes ini ke mahkamah walaupun berdepan tekanan politik.
“Tindakan SLS membuktikan bahawa perjuangan menegakkan hak Sabah tidak boleh dikompromi,” katanya lagi.
Tambah beliau, perjuangan itumenjadi lebih rumit apabila UMNO SABAH menyaksikan campur tangan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG) di Mahkamah Rayuan, yang secara jelas bertentangan dengan tuntutan rakyat.
“Adalah amat mengecewakan apabila peguam yang dilantik Kerajaan Negeri pada ketika itu membuat penghujahan bahawa hak 40 peratus ini hanyalah ‘aspirasi’ rakyat dan bukannya kewajipan perlembagaan yang mengikat.
“Kenyataan yang jelas bercanggah dengan semangat MA63 ini telah mencetuskan kemarahan besar rakyat Sabah dan menunjukkan kegagalan awal kepimpinan negeri untuk mempertahankan hak ini secara berprinsip.
“Walaupun hujah tersebut akhirnya ditarik balik susulan tekanan awam, insiden ini tidak boleh dilupakan sebagai bukti betapa rapuhnya usaha mempertahankan hak perlembagaan Sabah,” jelasnya.
Kata Bung, rakyat Sabah sudah terlalu lama bersabar dan sudah tiba masa semua pihak bersatu menuntut hak negeri ini seperti yang dijanjikan.
“Hak ini bukan hadiah tetapi janji perlembagaan yang mesti ditunaikan
“Sabah tidak meminta lebih, kita hanya menuntut apa yang telah dijanjikan,” ujar beliau lagi.
