KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir memberitahu bahawa poster yang tular di laman media sosial berkenaan calon Barisan Nasional (BN) Sabah untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Sabah ke-17 adalah palsu.
“Kami ingin menegaskan bahawa semua poster tersebut adalah palsu dan tidak ada kaitan dengan BN.
“Cubaan sebegini jelas merupakan strategi pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat, memecah-belahkan jentera BN dan melemahkan momentum kami.
“Mereka tahu, BN mempunyai jentera pilihan raya yang kuat, disiplin tinggi, dan calon-calon yang berkaliber, sehingga potensi kemenangan BN sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Suhaimi, BN Sabah kini bersedia dengan barisan calon yang 80 peratus muka baru, mewakili tenaga muda, profesional dan rakyat.
“Dengan kombinasi pengalaman kepimpinan, strategi tersusun, dan tenaga segar, BN yakin dapat membawa kemenangan cemerlang pada PRU Dewan Sabah ke-17.
“Cubaan pihak tertentu untuk mengacau bukanlah satu kejutan. Kami bukan sahaja bersedia, malah lebih kuat. BN tidak akan goyah dengan propaganda palsu, kami fokus kepada kerja, calon dan rakyat,” tegas Suhaimi.
Beliau turut menyeru agar rakyat Sabah tidak mudah percaya dengan berita palsu dan poster tiruan yang disebarkan melalui media sosial.
“Kami menyeru rakyat Sabah untuk tidak terperangkap dengan berita palsu dan poster tiruan, serta terus memberi sokongan kepada BN yang nyata membawa kepimpinan stabil, pembangunan dan hasil yang terbukti,” ujar beliau lagi.
