Perlu solusi bentuk sahsiah pelajar, elak terjebak jenayah

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan kes jenayah melibatkan remaja sekolah yang semakin membimbangkan di negeri ini dan seluruh negara.

Pengerusinya, Kefayatullah Malik Aman berkata, insiden tragik membabitkan pelajar sekolah telah menggemparkan masyarakat termasuk kes rogol pelajar bergilir-gilir minggu lalu serta kejadian terbaru pelajar lelaki tingkatan dua menikam rakan sekolahnya hingga maut.

“Beberapa insiden lain seperti kes rogol beramai-ramai dan kes buli yang menyebabkan kematian turut menambah kebimbangan masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi New Sabah News, kelmarin.

Menurutnya, perkembangan tersebut menunjukkan berlakunya keruntuhan nilai moral dan akhlak yang serius dalam kalangan generasi muda sehingga institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat kini bertukar menjadi lokasi kejadian jenayah.

“Kita semakin bimbang apabila sekolah, tempat mendidik dan membentuk masa depan anak bangsa, sudah tidak lagi selamat.

“Ini bukan sekadar isu disiplin tetapi sudah menjadi krisis moral dan kemanusiaan,” katanya lagi.

Kefayatullah turut menegaskan bahawa golongan muda merupakan pelapis negara dan bakal pemimpin masa depan, namun pelbagai pengaruh negatif termasuk media sosial, budaya hedonisme serta kelonggaran kawalan ibu bapa telah menyumbang kepada rosaknya nilai dan akhlak mereka.

“Kalau kita gagal membimbing generasi ini sekarang, kita sebenarnya sedang menyemai kehancuran masa depan bangsa sendiri.

“Kita tidak boleh terus diam bila nyawa pelajar melayang dan maruah anak bangsa dipijak di tempat yang sepatutnya mendidik mereka,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta institusi keagamaan dan masyarakat sivil memperkukuh program pendidikan moral dan spiritual di sekolah serta komuniti.

Selain itu, katanya, peranan ibu bapa perlu diperkasa dengan kesedaran bahawa pendidikan akhlak dan disiplin bermula dari rumah, bukan diserahkan sepenuhnya kepada sekolah.

“PAKAS menjalankan pelbagai program kesedaran sosial dan pendidikan rohani di seluruh Sabah bagi memperkukuh jati diri remaja melalui pendekatan dakwah dan komuniti.

“Kita mesti kembali kepada asas membina manusia dengan nilai moral dan akhlak yang terpuji, bukan sekadar sijil akademik semata-mata.

“Anak-anak ini bukan sekadar masa depan negara, mereka masa depan agama dan bangsa,” tegasnya lagi.

Tinggalkan komen