Sabah, jangan beri peluang kegagalan berulang: BN

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Umno Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa pembubaran Deqan Negeri (DUN) Sabah adalah peluang kepada rakyat untuk menilai semula kegagalan pentadbiran sedia ada.

“Kerajaan yang dibina atas kompromi dan kepentingan peribadi akhirnya tumbang di bawah beban ketidakpercayaan rakyat.

“Namun lebih besar daripada kegagalan pentadbiran itu ialah hakikat bahawa Ketua Menteri terdahulu, Datuk Seri Hajiji Noor, pernah mencipta sejarah sebagai Ketua Menteri pertama Sabah yang disaman di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa.

“Kes ini bukan sekadar isu politik melibatkan tuntutan sivil bernilai RM1.4 bilion oleh Sabah Forestry Industries Sdn. Bhd. (SFI) bersama pihak pengurus penerimanya terhadap Kerajaan Negeri Sabah, dengan Hajiji dinamakan sebagai defendan utama,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Libaran itu juga, dalam saman yang difailkan pada Mac 2025, SFI mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasa sebagai Ketua Menteri dengan campur tangan terhadap keputusan membatalkan konsesi balak syarikat tersebut dan seterusnya mengagihkan semula kawasan berkenaan kepada syarikat lain.

“Tindakan itu didakwa menyebabkan kerugian besar serta mencemarkan reputasi SFI, yang kini menuntut ganti rugi sebanyak RM1.4 bilion serta satu pengisytiharan bahawa bekas Ketua Menteri telah menyalahgunakan kedudukannya.

“Persoalannya, bagaimana seorang bekas Ketua Menteri yang sedang berdepan saman sivil dan siasatan berkaitan salah guna kuasa boleh menuntut semula kepercayaan rakyat untuk memimpin Sabah?

“Apakah rakyat mahu kembali ke era di mana negeri ini diterajui oleh individu yang menjadi liabiliti politik, undang-undang dan moral kepada Sabah sendiri?,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan yang diterajui Ketua Menteri itu juga gagal dalam usaha mengangkat ekonomi dan infrastruktur negeri, malah menyeret maruah pentadbiran Sabah ke arah jurang.

“Ia adalah kerajaan yang sarat dengan liabiliti liabiliti moral, liabiliti undang-undang, dan liabiliti kepercayaan rakyat.

“Kini tiba masanya untuk rakyat memilih kepimpinan yang benar-benar berwibawa, berintegriti dan berpaksikan rakyat, bukan kumpulan elit yang menyalahgunakan kepercayaan rakyat.

“Barisan Nasional berdiri teguh bersama rakyat Sabah untuk memulihkan semula maruah pentadbiran negeri agar Sabah tidak lagi dikenang kerana skandal, tetapi dihormati kerana kejujuran, kemajuan dan integriti kepimpinannya,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen