Mahu betulkan masa depan Sabah, UMNO sedia jadi kerajaan: Bung

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu bahawa parti itu berhasrat untuk membetulkan masa depan rakyat Sabah dan sedia menjadi kerajaan yang mentadbir negeri.

“Mesej kami jelas, UMNO Sabah sedia jadi kerajaan dan ingin betulkan masa depan rakyat Sabah.

“Untuk pengetahuan, UMNO Sabah ada autoriti penuh dan kita sudah rancang untuk letak 48 calon bagi bertanding untuk kerusi BN.

“Saya boleh nyatakan, 50 peratus daripada calon kita ini adalah calon muda, juga ada calon wanita, nanti kita akan putuskan dan kongsikan kepada umum, termasuk manifestor dan jentera kita, seminggu sebelum penamaan calon,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media selepas hadir dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, di sini, malam tadi.

Menurut Bung, pilihan raya di Sabah kali ini adalah dinamik dan mampu mencetuskan komplikasi.

“Kita tunggu keadaan, tunggu yang terbaik untuk rakyat kerana kita ada tawaran baru, saya kongsikan sikitlah, antaranya kita akan wujudkan tabung kemakmuran negeri,” katanya lagi.

Selain itu, Bung turut berkongsi bahawa UMNO Sabah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan berlakunya kejadian lompat parti selepas pilihan raya kelak.

“Kita akan buat perjanjian dengan calon, yang ada kesetiaan dengan parti itu akan kita fokus dulu untuk jadi calon kerana kita tidak mahu yang pengkhianat,” katanya. 

Dalam pada itu, Bung turut menzahirkan harapan UMNO Sabah terhadap kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan berharap agar PH membuat keputusan terbaik untuk berpihak kepada siapa bagi kerjasama pilihan raya.

“PH kena fikirlah, kita sokong PH dan di persekutuan, kita ada 30 kerusi sokong mereka, kalau parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru enam,” katanya lagi.

Bung menegaskan bahawa UMNO Sabah akan kekal bersama PH untuk mengekalkan kestabilan politik seluruh negara.

“Kita tidak macam GRS, yang sudah berpecah sebab ada krisis keyakinan, ini jelas menunjukkan dan memberi gambaran bahawa rakyat juga hilang keyakinan.

“GRS gagal untuk urus Sabah dan rakyat, hujah penuh retorik dan janji palsu.

“Rakyat sekarang bijak untuk pilih calon dan parti yang mampu memberi impak positif kepada Sabah dan rakyat,” ujar Bung lagi.

UMNO Sabah mempunyai keahlian seramai 614, 994 ahli seluruh negeri dan 474,252 daripadanya mampu untuk mengundi.

Tinggalkan komen