KPDN lancar skim kawalan harga sempena Deepavali

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) melancarkan Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Deepavali bermula 16 hingga 20 Oktober depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari dan berkuat kuasa pada empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

Menurutnya, sebanyak sembilan jenis barang harga terkawal berserta harga maksimumnya akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2025.

Katanya, senarai barang itu ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil ros India, bawang merah besar import, kacang dal (Australia), kelapa biji dan kepala parut.

“Daripada kesemua barang ini, satu pertambahan barang baru ialah bawang merah kecil India,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran SHMMP Deepavali 2025 di sini, hari ini.

Armizan menjelaskan bahawa pelaksanaan itu sesuai dengan keadaan semasa dan mampu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga berpuas hati dengan tempoh pelaksanaan yang efektif. 

“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2025 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Pegawai-pegawai kita juga akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan,” katanya.

Menurutnya, strategi itu membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku pelanggaran.

Armizan menyeru orang ramai untuk tampil membuat aduan jika ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim itu.

“Pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui Whatsapp ke 0198488000 atau emel aduan kepada eaduan@kpdn.gov.my.

“Pengguna juga boleh menghubungi pusat panggilan di talian 1800886800 atau melalui aplikasi Ez ADU KPDN,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen