Belanjawan 2026, kukuh agenda reformasi subsidi bersasar: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa Belanjawan 2026 yang baru dibentangkan adalah agenda reformasi yang digerakkan oleh kerajaan khasnya dari aspek pemberian subsidi secara pukal kepada subsidi bersasar.

“Pemberian bantuan nilai melalui Sumbangan Tunai RAHMAH (STR) dan bantuan sara hidup untuk membeli barangan keperluan melalui Sumbangan Asas RAHMAH (SARA).

“Inisiatif pemberian bantuan ini asalnya sudah dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2012.

“Pada peringkat awal pelaksanaan program khusus bantuan tunai tersebut, jumlah maksimum diberikan kepada penerima yang layak adalah RM500 setahun dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.6 bilion,” katanya. 

Armizan berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media, di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Armizan turut berkongsi bahawa program bantuan tunai RAHMAH (STR) dan Sumbangan Asas RAHMAH (SARA) termasuk peluasan kategori penerima, merangkumi golongan B40, M40 rendah, warga emas serta bujang.

“Selain itu, kadar bantuan juga telah ditingkatkan mengikut kategori dengan jumlah tertinggi iaitu RM4,600 setahun diterima oleh isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan dengan tanggungan lima orang anak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa dalam Belanjawan 2026, kerajaan akan meneruskan pemberian STR dan SARA dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion.

“Ini termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas yang akan menerima sebanyak RM100 melalui pemberian SARA untuk semua.

“Kesemua penerima STR akan turut menerima SARA bulanan sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun, dan penerima STR dibawah program e-kasih, bantuan SARA akan ditingkatkan kepada sehingga RM200 sebulan, atau RM2,400 setahun.

“Bagi penerima bujang pula, akan terus menerima SARA RM50 sebulan atau RM600 setahun,” ujar Armizan.

Tinggalkan komen