Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kerangka awal berkenaan manifesto pilihanraya parti itu sudah dibuat dan akan dipersembahkan kepada umum selepas penamaan calon dibuat.
“Tertakluk kepada pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), dan kita akan bentangkan manifesto GRS selepas selesai semua senarai calon diumumkan.
“Kita juga mengambilkira pandangan dan idea daripada industri serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha merangka manifesto pilihanraya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media, di sini, hari ini.
Armizan menjelaskan bahawa melalui mandat baru, parti itu akan terus memperkukuh agenda reformasi undang-undang dan institusi.
“Antara strategi baru dalam menggerakkan agenda ini adalah menerusi Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) pada 31 Julai baru-baru ini yang mana ia berperanan sebagai badan penasihat bebas yang diamanahkan bagi menjalankan semakan menyeluruh ke atas undang-undang negeri sedia ada, serta mencadangkan pembaharuan bersasar bagi menambahbaik kejelasan, keberkesanan, keadilan dan kerelevanan undang-undang.
“Reformasi undang-undang dan institusi ini adalah bukti GRS melaksanakan perubahan, berani dan berstrategi,” katanya.
Menurut Armizan, GRS komited untuk membawa lebih banyak penambahbaikan dalam penggubalan dan pelaksanaan undang-undang serta institusi termasuk isu berkaitan pemilikan strata.
Sebanyak 51 enakmen baru dan pindaan kepada enakmen sedia ada termasuk Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022, Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Bekalan Gas 2023, Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memperkenal peruntukan berhubung anti lompat parti, Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024, serta Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
“Dalam konteks reformasi industri, antara kejayaan yang sudah dicapai adalah pemerkasaan peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk mengendalikan semua kes jenayah di bawah undang-undang negeri Sabah.
“Bagi tujuan ini, Peguam Negara selaku Pendakwa Raya di bawah Kanun Tatacara Jenayah telah melantik Peguam Besar Negeri Sabah dan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
“Pemerkasaan ini adalah usaha bagi meningkatkan keberkesanan aspek penguatkuasaab dan tindakan pendakwaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa sejak kelulusan itu diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 6 April 2023 yang membawa kepada tertubuhnya Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan di bawah Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.
“Sejak itu, mana-mana agensi diwajibkan mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebelum memulakan tindakan pendakwaan bagi apa-apa kesaahan jenayah di bawah undang-undang negeri seperti Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan, Enakmen Perlindungan Alam dan sebagainya.
“Ini membolehkan Jabatan Besar Peguam Besar Negeri Sabah memberi tumpuan khusus kepada kesalahan di bawah undang-undang negeri Sabah berbanding sebelum ini semua kesalahan jenayah di bawah undang-undang negeri perlu dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara,” jelasnya lagi.
