Lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta di hadapan masjid di Tungku

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan Masjid Kampung Mesej Nala, Tungku, tengah hari kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihak Balai Polis Tungku menerima panggilan daripada orang awam sekitar pukul 12.55 tengah hari mengenai kejadian tersebut.

“Pasukan polis bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tungku segera ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa mahupun di kawasan sekitar.

“Siasatan mendapati seorang saksi terlihat sebuah kereta diparkir di hadapan masjid selepas solat.

“Saksi mengetuk cermin kereta tetapi tiada tindak balas sebelum membuka pintu dan mendapati lelaki berkenaan tidak sedarkan diri.

“Saksi kemudian menghubungi pihak polis dan Pejabat Kesihatan Tungku untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

Jimmy turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian agar tampil menghubungi pegawai penyiasat bagi membantu siasatan lanjut.

Tinggalkan komen