Laung slogan retorik ‘Selamatkan Sabah’, tapi cukupkah berjuang masa jadi kerajaan?: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mempersoal tindakan pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menggunakan slogan ‘Selamatkan Sabah’ tetapi tidak berjuang sebagai kerajaan semasa persetujuan Kabinet Sabah berkenaan kadar RM53.4 juta sewaktu mesyuarat pada 16 Oktober 2018.

“Persoalannya, adakah Warisan Selamatkan Sabah atau kita perlu Selamatkan Sabah dari Warisan dengan mengambil kira keputusan mereka semasa 2018 yang jelas sebagai pengkhianatan kepada hak dan kepentingan Sabah,” katanya. 

Menurut Armizan, Kerajaan GRS dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membuat rundingan semula dan berjaya menaikkan kadar kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

“Selepas terbentuk Kerajaan Madani pada penghujung 2022, kita bincang semula diadakan untuk menaikkan kadar pemberian khas, dan akhirnya berjaya dinaikkan kepada RM300 juta pada tahun 2023.

“Bukan itu saja, bahkan jumlah ini meningkat lagi kepada RM306 juta pada tahun 2024 dan sekali lagi meningkat kepada RM600 juta pada tahun 2025 yang mana jumlah itu sudah dimasukkan ke dalam akaun Kerajaan Negeri pada September lalu, dan digunakan bagi tujuan pembangunan, bantuan dan keperluan Sabah.

“Ini adalah kadar interim yang mana tidak prejudis kepada hak Sabah bagi terus menuntut formula 40 peratus dipenuhi, sesuai dengan perjuangan MA63 yang diperjuangkan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi sidang media di sini, hari ini.

Tambah Armizan, GRS juga akan memfokuskan kepada usaha pengaturan kadar interim itu sebagai asas kepada manifesto yang akan dipersembahkan dan diperjuangkan kepada rakyat untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Sabah ke-17.

Jelas Armizan lagi, rakyat perlu menilai jejak prestasi (track record) pemimpin lampau dan membuat pilihan bijak demi memastikan negeri Sabah dan hak-hak Sabah boleh diperjuangkan sewajarnya.

“Semua parti muncul dengan pelbagai janji dan tawaran masing-masing, menariknya untuk konteks pilihanraya kali ini, semua parti baik GRS, Warisan atau Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pernah memegang kuasa atau berada dalam koridor kuasa di peringkat negeri.

“Jangan cuma dengar dendangan retorik yang dilaungkan tetapi tengok track record parti-parti ini kerana pencapaian semasa mereka adalah kayu ukur utama untuk rakyat melihat serta menilai siapa mereka.

“MA63 adalah tunjang perjuangan untuk memelihara hak dan kepentingan orang Sabah, yang mana termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak memperoleh 40 peratus hasil kutipan dari Persekutuan dengan dikembalikan secara langsung, dengan nama Pemberian Khas,” katanya. 

Dalam pada itu, Armizan turut menegaskan bahawa Pemberian Khas itu perlu disemak setiap lima tahun tetapi kadar terakhir yang diterima pada tahun 1973 dengan nilai RM26.7 juta, sekaligus tidak pernah disemak selama lebih 45 tahun.

“Sepatutnya dalam tempoh 45 tahun, kena ada sembilan kali semakan, tetapi dibawah pentadbiran Kerajaan BN yang berkuasa di Negeri dan Persekutuan, kemudian tahun 2018, naik Warisan sebagai Kerajaan Negeri, hasil kerjasama PH dan lompatan ramai ADUN BN lepas pilihanraya ketika itu.

“Slogan ‘Sabah Ubah’ kini jadi ‘Selamatkan Sabah’ dan mereka laungkan retorik emosi dengan mengatakan yang mereka berhasil naikkkan semakan Peruntukan Khas dari RM26.7 juta kepada RM53.4 juta seperti yang terkandung dalam Belanjawan Persekutuan 2020.

“Wajarkah nilai sebegini sahaja yang naik untuk kadar 40 peratus itu, selepas 45 tahun tanpa sebarang semakan, ada tiga wakil Warisan dalam kabinet ketika itu tetapi kita tidak tahu, apa yang diperjuangkan dan dipersetujukan mereka,” katanya lagi.

Selain itu, Armizan juga memberitahu bahawa Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 16 Oktober 2019 yang bersetuju dengan nilai RM53.4 juta.

“Persetujuan mereka melalui surat bertarikh 18 Oktober 2019 dibatalkan melalui surat bertarikh 7 Disember 2020 oleh GRS.

“Jadi saya ingin menyoal pemimpin Warisan sekali lagi, betulkah Warisan selamatkan Sabah?,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen