Kalau berani, tampil ke depan dan perjuangkan pengkianatan mereka: Bung

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencabar Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Suryady untuk tampil ke depan dan memperjuangkan pengkhianatan mereka kepada parti itu.

“Kalau betul mahu bertanding, pucuk dicita ulam mendatang, sekarang sudah tiba masanya Shahelmey dan Andi menunjukkan keberanian sebenar bukan bersembunyi di sebalik kuasa yang diperoleh hasil pengkhianatan terhadap perjuangan BN.

“Mari kita lihat sejauh mana kamu berdua benar-benar kuat tanpa bendera BN. 

“Buktikan bahawa kemenangan kamu dalam PRN16 dan PRU15 bukan kerana jentera, pengundi, dan pengaruh BN, tetapi kerana diri kamu sendiri. Jangan lagi berselindung di sebalik jasa parti yang kamu tikam dari belakang,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Bung, rakyat semakin bijak menilai dan celik politik.

“Mereka tahu menilai siapa yang setia dan siapa yang menjual prinsip demi jawatan dan kuasa.

“Kamu berdua kini menjadi simbol politik tanpa pendirian, pemimpin yang sanggup menikam sahabat sendiri demi kepentingan sementara.

“UMNO dan BN tidak lupa. Kami telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan kamu dalam PRN17, bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menghapuskan legasi pengkhianatan yang memalukan politik Sabah,” katanya lagi.

Bung turut menzahirkan keyakinan terhadap penyokong parti BN dan percaya bahawa rakyat boleh menilai sert mengenal makna kesetiaan, maruah dan perjuangan.

“Dalam politik, pengkhianatan mungkin memberi kuasa sementara, tetapi pengkhianat tidak akan pernah dihormati sejarah.

“Sudah tiba masanya pengundi di DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu bersatu padu memastikan kedua-dua calon ini diberi pengajaran.

“Kamu yang pernah menaikkan mereka, kamu jugalah yang berhak menjatuhkan dua pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat dan perjuangan BN,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen