Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bercadang untuk meletakkan tiga calon bagi bertanding di Sabah pada pilihan raya akan datang dalam usaha memperkukuh kehadiran parti itu di Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata keputusan itu dibuat selepas menilai potensi kawasan serta sokongan masyarakat setempat terhadap perjuangan Pejuang yang berteraskan integriti dan maruah bangsa.
“Kita melihat ada keperluan untuk suara Pejuang di Sabah, terutama sekali dalam usaha memperjuang dasar yang adil serta mengembalikan fokus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media di sini, petang tadi.
Menurut Mukriz, kesemua bakal calon yang bakal diketengahkan oleh Pejuang adalah individu tempatan, yang berpotensi, dikenali oleh akar umbi dan rakyat tempatan serta mempunyai latar belakang positif.
“Penting untuk bakal calon yang kita pertandingkan nanti daripada kalangan anak tempatan Sabah yang memliki latar belakang yang baik serta mampu memberi komitmen untuk membawa aspirasi rakyat negeri itu ke peringkat nasional.
Beliau turut menegaskan bahawa usia Pejuang sebagai sebuah parti baru tidak menjadi penghalang kepada usaha untuk Pejuang cuba menjadi suara dalam Dewan Negeri Sabah.
“Walaupun Pejuang masih baharu di Sabah, parti itu yakin mesej perjuangan yang berlandaskan amanah, integriti dan keadilan sosial akan mendapat tempat di hati pengundi.
“Kita tidak mahu politik lama yang penuh dengan janji kosong dan sogokan.
“Kita mahu politik yang bersih, ikhlas dan memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mukhriz turut menyatakan bahawa Pejuang terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai nilai perjuangan sama, namun menolak sebarang bentuk pakatan yang boleh menjejaskan prinsip parti.
Mukhriz turut berkongsi bahawa Pejuang turut berbincang dalam rundingan bersama gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Kita sudah mula berunding dan kini sudah dalam fasa akhir, hampir ke penghujung yang mana kita akan muktamatkan calon-calon kita sebelum hari penamaan calon kelak.
“Kita bercadang untuk meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri Pantai Manis, Kawang dan Tamparuli,” ujar beliau lagi.
