Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan komited dalam usaha untuk menyelesaikan masalah air dan elektrik di Sabah.
“Peruntukan Pembangunan (DE) sebanyak RM6.9 bilion yang diumumkan untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab kawal selia bekalan air Sabah yang sejak sekian lama, dan kawal selia tenaga (elektrik) telah diambil alih oleh negeri secara rasmi bermula tahun 2024.
“Kerajaan mengambil kira kedua-dua perkara ini merupakan isu legasi yang telah diwarisi sekian lama dan menuntut keperluan peruntukan yang amat besar, Kerajaan Persekutuan terus komited bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan kedua-duanya demi kesejahteraan rakyat dan Pembangunan negeri dengan subsidi RM1.2 bilion untuk kestabilan bekalan elektrik di Sabah.
“Ini meliputi RM880 juta subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar. Jumlah subsidi ini ditingkatkan berbanding RM700 juta yang diperuntukan bagi tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sidang media di sini, petang tadi.
Menurut Armizan, sebanyak RM189.8 juta diperuntukan di bawah projek-projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, serta RM128 juta diperuntukan untuk melaksanakan projek-projek sambungan bekalan elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Pembinaan Rangkaian Grid Elektrik – Projek Southern Link Projek dengan peruntukan RM765 juta ini merupakan komponen kepada keperluan melengkapkan rangkaian grid elektrik di seluruh Sabah khususnya ke Pantai Timur Sabah yang melibatkan jarak 330km dengan kapasiti 275 kilovolt(kV).
“Fasa I sepanjang 60km sedang dalam pembinaan dan peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 membolehkan Fasa II diteruskan meliputi Sipitang, Tenom, Kalabakan dan Tawau yang melibatkan jarak keseluruhan keperluan Southern Link sejauh 330km.
“Perancangan keperluan untuk melengkapkan rangkaian grid di Sabah telah dibuat sejak tahun 1980-an dan telah dipohon sejak lebih 10 tahun lalu ketika kuasa kawal selia berada di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Tenaga (EC),” katanya lagi.
Selain itu, Armizan turut menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerja keras untuk membantu Sabah menyelesaikan isu legasi ketidakstabilan bekalan elektrik.
“Walaupun kuasa kawal selia tenaga telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri bermula tahun 2024 melalui penyerahan kuasa kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga (EC) sebuah badan berkanun persekutuan kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri.
“Sementara itu, majoriti pegangan saham Sabah Electricity (SE) masih kekal dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). SE merupakan syarikat utiliti bersepadu yang menyediakan perkhidmatan penjanaan,
penghantaran dan pengagihan elektrik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Armizan turut menyatakan bahawa peruntukan yang disalurkan bagi memenuhi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu air melalui peruntukansejumlah RM1 bilion bermula tahun 2024 hingga 2026.
“Ini meliputi projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
“Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan, manakala majoriti pegangan saham Sabah Electricity (SE) masih kekal dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“SE merupakan syarikat utiliti bersepadu yang menyediakan perkhidmatan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” ujar beliau lagi.
