Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa usaha meningkatkan pelaburan penggiat industri kreatif termasuk 10Star Cinemas di Sabah adalah sejajar dengan pembangunan industri kreatif dan meningkatkan sosioekonomi rakyat.
“Pelaburan 10Star Cinemas yang dianggarkan lebih RM100 juta termasuk membuka enam pawagam yang sudah beroperasi dan dua lagi bakal di bina di Kinarut dan Kundasang.
“Ini bukan sekadar untuk perniagaan berorientasikan komersil semata-mata, malah membantu kepada pembangunan sosioekonomi rakyat kerana lebih daripada 500 peluang pekerjaan disediakan untuk anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media Majlis Menandatangani MOU Pembangunan 10Star Cinemas Kinarut dan Kundasang di sini, hari ini.
Menurut beliau, usaha itu adalah seiring dengan Program Aspirasi Pembangunan Filem Sabah (APFS) 2026/2027.
“Ini memberi fokus kepada dua elemen penting iaitu pembangunan infra pawagam dan pembangunan karya muda.
“Usaha ini juga adalah program galakan kepada pengkarya muda bagi menghasilkan filem pendek,” katanya lagi.
Tambah Armizan, kejayaan pengkarya tempatan turut boleh menjadi inspirasi kepada pengkarya muda lain.
“Dua produksi telah dipilih untuk menghasilkan dua filem pendek iaitu RIVY Production melalui karya ‘Bedilan’ dan Lapan Pagi Studio dengan karya ‘Bas Malam’.
Pawagam Kinarut dijangka siap dibina dan beroperasi menjelang suku akhir tahun hadapan dan Kundasang pula pada tahun 2027.
Setakat ini, 10Star Cinemas sudah beroperasi di Tawau (dua cawangan), Sandakan (dua cawangan) Kota Marudu dan Papar.
10Star Cinemas turut mensasarkan untuk mempunyai 15 pawagam di seluruh negara namun keutamaan adalah untuk pembinaan pawagam di Sabah.
