Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup minyak sawit mentah bernilai lebih RM2.3 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang di kawasan Lahad Datu.
Gudang berkenaan dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan minyak sawit yang diperoleh secara tidak sah untuk tujuan penyelewengan.
“Dalam operasi dijalankan sekitar pukul empat petang itu, hasil risikan Unit Risikan Marin, pasukan polis menahan tiga suspek seorang lelaki tempatan dan dua warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.
“Dua lori treler, enam tangki treler-IBC serta 33,040 liter minyak sawit mentah turut dirampas dalam serbuan itu,” kata Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.38 juta.
Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia 2005 bagi tindakan lanjut.
“Pasukan Polis Marin akan terus mempergiat operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan hasil negara, terutama di kawasan perairan dan lokasi strategik di Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama orang awam amat penting bagi membantu kami mengekang jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.
