Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU:Seorang pegawai tadbir Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas 30 pertuduhan menerima dan cuba memperoleh suapan melibatkan projek pembekalan serta perkhidmatan di bawah jabatan berkenaan.
Tertuduh, wanita berusia 49 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2022 hingga Oktober 2023 ketika bertugas di PNS, apabila secara langsung dan tidak langsung menerima wang daripada beberapa individu berkaitan kontraktor pembekalan.
Antara pertuduhan termasuk menerima wang tunai berjumlah lebih RM80,000, dipercayai sebagai balasan membantu dalam urusan pembekalan kepada jabatan tersebut.
Tertuduh, Normila, turut berdepan pertuduhan mendapatkan suapan untuk kepentingan diri sendiri dengan menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai tadbir dalam proses pelantikan pembekal dan penyedia perkhidmatan.
Sebanyak 18 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Manakala 12 lagi pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah), Jason Juga.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 27 November depan.
