Lelaki ditahan, kemuka maklumat palsu semasa mohon MyKad

Oleh: Sumayyah Rihanna

SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan pegawai penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Sandakan selepas disyaki mengemukakan maklumat palsu ketika membuat permohonan daftar lewat kad pengenalan di pejabat jabatan itu, pagi tadi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan JPN Sabah, lelaki berkenaan ditahan ketika sesi soal siasat dijalankan oleh pegawai bertugas selepas maklumat yang diberikan didapati meragukan serta tidak sepadan dengan rekod rasmi jabatan.

“Suspek kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

JPN dalam kenyataan sama menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penipuan atau pemalsuan dokumen rasmi kerajaan, khususnya yang melibatkan identiti dan kewarganegaraan.

“Orang awam diingatkan supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar dan tepat ketika membuat sebarang permohonan.

“Menipu dalam urusan rasmi bukan sahaja satu kesalahan undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya lagi.

Jabatan itu turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih mengenai perkhidmatan dan prosedur rasmi menerusi akaun media sosial rasmi JPN Sabah di Instagram, Facebook, TikTok dan X bagi mengelak sebarang penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, JPN Sabah menyeru semua pihak untuk terus memelihara integriti sistem pendaftaran negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta gagasan KDN Sejahtera Madani.

Tinggalkan komen