Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Victor Sanjos, menasihatkan semua pihak termasuk komuniti maritim, pengamal media dan penyelidik agar menggunakan istilah “Kawasan Sabah Timur” bagi menggantikan sebutan “Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah” yang sering digunakan sebelum ini.
Menurut beliau, istilah baharu itu lebih tepat kerana meliputi keseluruhan tiga domain utama kawalan ESSCOM, iaitu darat, laut dan udara, dan bukan hanya tertumpu di kawasan pantai semata-mata.
“Saya ingin mengambil kesempatan memaklumkan kepada rakan-rakan media dan pengkaji bahawa istilah yang betul untuk digunakan ialah Kawasan Sabah Timur, yang mencakupi ketiga-tiga domain darat, laut dan udara.
“Terminologi rasmi yang sepatutnya digunakan ialah Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) atau Kawasan Selamat Sabah Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, semalam.
Tegas beliau, penggunaan istilah yang tepat amat penting bagi memastikan kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai peranan dan bidang kuasa ESSCOM dalam menjaga keselamatan kawasan strategik di timur Sabah.
