Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA BELUD: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh menegaskan bahawa pengusaha stesen bahan api perlu bertanggungjawab untuk menyediakan buku log manual bagi mencatat jualan petrol khasnya semasa sistem ‘offline’.
“Jika berlaku kejadian seperti sistem ‘offline’ maka pengusaha wajar catat, ambil maklumat pelanggan dari dokumen pengenalan diri mereka dan rekodkan.
“Ini bertujuan untuk ganti semula nilai subsidi BUDI95 yang pengguna layak dapat.
“Andai kata sistem ‘offline’ juga, maka, boleh buat notis pemberitahuan, untuk war-warkan kepada pengguna agar mereka tahu stesen sedang mengalami masalah dan pengguna boleh pilih stesen lain, tanpa berlaku masalah berkenaan BUDI95,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Fuziah lagi, KPDN komited dalam usaha untuk memastikan kelangsungan faedah BUDI95 diterima oleh semua pengguna yang layak.
“Kita mahu BUDI95 dinikmati oleh semua pengguna yang layak dan ini adalah komitmen semua daripada kita di KPDN.
“Andai ada sebarang masalah berkenaan BUDI95, atau aduan berkenaan masalah untuk pembelian BUDI95 di stesen bahan api, kita alu-alukan agar pengguna menyuarakan masalah mereka dan buat aduan dengan kami.
“Kita akan sentiasa mengambil langkah dan tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini kerana keutamaan kita adalah untuk pengguna yang layak bagi menerima manfaat BUDI95, memperoleh manfaatnya,” ujar beliau lagi.
