Projek jeti baharu Mawilla 2 Sandakan, tingkat kesiapsiagaan TLDM

Oleh: Sumayyah Rihanna

SANDAKAN: Pembinaan jeti baru Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) dijangka bakal meningkatkan keupayaan logistik dan kesiapsiagaan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan pantai timur Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek jeti sepanjang 300 meter dengan kos RM122 juta itu kini mencapai 75 peratus kemajuan dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2026.

Menurut beliau, jeti tersebut akan menjadi kemudahan utama dalam menempatkan aset strategik TLDM bagi memperkukuh rondaan serta kawalan keselamatan di perairan Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan.

“Kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual dan kita yakin ia dapat disiapkan pada 6 Mei tahun hadapan.

“Markas ini amat penting kerana ia berperanan sebagai pusat kawalan utama yang mengawasi tiga kawasan perairan strategik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek berkenaan sempena lawatan kerja dua hari ke Sandakan, hari ini.

Khaled berkata, apabila jeti baharu siap sepenuhnya, ia akan memberi ruang kepada TLDM menempatkan lebih banyak kapal bagi memperkukuh keberkesanan operasi maritim di rantau ini.

Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan mengalami sedikit cabaran teknikal disebabkan masalah tanah mendap dan ruang kawasan yang terhad.

“Antara isu yang dikenal pasti ialah mendapan tanah dan keadaan cerun yang tidak stabil.

“Pihak kontraktor telah melantik konsultan pakar bagi menilai dan mencari penyelesaian terbaik,” jelasnya.

Dalam lawatan sama, Khaled turut mengunjungi Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Sri Kinabatangan serta meninjau projek madu kelulut di bawah Program Ekonomi MADANI yang dijalankan di kem berkenaan.

Tinggalkan komen