Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengambil maklum berhubung dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Sabah ke-16 pada hari ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Datuk Harun berkata, SPR telah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas-tugas pilihan raya.
“Kita sedia untuk melaksanakan tugas-tugas diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4), Perlembagaan Negeri Sabah.
“Satu Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman pembubaran itu dibuat dalam sebuah sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu, pada pukul 2.54 petang tadi.
Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pengumuman itu adalah susulan mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hadir sama ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Tan Sri Liew Yun Fah.
Turut hadir juga semasa pengumuman itu ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Penasihat PKR Sabah Datuk Seri Christina Liew dan Timbalan Ketua PKR Sabah Datuk Peto Galim.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi keseluruhan yang terdiri daripada 73 kerusi yang dipertandingkan dan enam ADUN dilantik.
