Bekalan barang keperluan mencukupi: KPDN

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA BELUD: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memberi jaminan bahawa rakyat di kawasan pedalaman termasuk pulau-pulau akan memperoleh bekalan barang keperluan dan manfaat bahan api yang disalurkan oleh kerajaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, KPDN Sabah kini giat dalam usaha dan pemeriksaan di Point of Sales (POS).

“Pemeriksaan ini bertujuan untuk kita beri gambaran jelas tentang pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SPKS) dan BUDI95.

“Selain itu, ada barang keperluan lain juga seperti gula pasir dan tepung gandum yang mana ini adalah barang yang sentiasa dikawal,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberi semasa hadir dalam sesi pemeriksaan POS bagi Program Pengedaran Barang Perlu di Pulau Mantanani, di sini, hari ini.

Menurut Fuziah, program itu meliputi 78 Zon Pengedaran di 228 kawasan pengedaran serta 607 POS.

“Untuk Sabah, kita ada 205 pegawai penguatkuasa dan 72 orang pegawai pemantau harga yang sentiasa melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala di seluruh negeri.

“Untuk itu, kita beri jaminan bahawa bekalan barang keperluan di setiap POS adalah mencukupi dan tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga tanpa kelulusan kerajaan,” katanya lagi.

Fuziah turut menyeru kepada orang ramai untuk terus memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat penyelewengan harga atau gangguan bekalan melalui saluran rasmi aduan KPDN di aplikasi Whatapps di nombor 0198488000, portal e-Aduan KPDN http://kpdn.gov.my, atau boleh terus menghubungi talian aduan KPDN 1800886800.

Selain iti, orang ramai juga boleh memuat turut aplikasi Ez ADU KPDN.

Tinggalkan komen