Rumah Mesra SMJ ditambah, bukti keprihatinan kerajaan GRS: Nizam

KOTA KINABALU: Pengumuman kerajaan berkenaan penambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun hadapan adalah bukti  keprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap rakyat, khasnya golongan muda yang bergelut dengan segala kos sara hidup dan tidak mempunyai kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap DUN di seluruh negeri.

“Langkah ini adalah satu keprihatinan untuk anak muda dan ini juga simbol keberkesanan kepada dasar SMJ yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

“Projek Rumah Mesra SMJ adalah bukti  keberanian dan keikhlasan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan untuk rakyat, khasnya perumahan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif.

“Ini meliputi semua kawasan, sama ada di bandar mahupun luar bandar dan dengan usaha yang menggabungkan kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta juga merupakan langkah strategik yang mempercepatkan pembangunan serta membolehkan sumber kewangan negeri difokuskan kepada inisiatif sosioekonomi lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Nizam, kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Hajiji sudah melaksanakan pelbagai usaha sekaligus membuktikan bahawa agenda Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan, tetapi sebuah pelan tindakan secara konsisten dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.

“Rakyat Sabah, khususnya golongan muda, harus melihat inisiatif ini sebagai bukti jelas kepada usaha dan komitmen kerajaan GRS dengan fokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar berpolitik atau menabur janji,” katanya.

Tambah Nizam yang juga merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri serta Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu juga  berkata, kepimpinan yang mementingkan kebajikan rakyat dan kesejahteraan sejagat seluruh negeri adalah kepimpinan yang wajar untuk Sabah dan perlu dikekalkan.

“Kepimpinan seumpama ini adalah penting untuk kesejahteraan rakyat dan negeri,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen