Gagasan Rakyat Silam kekal bersama GRS, tidak terkesan parti keluar gabungan

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah menegaskan bahawa parti itu kekal utuh dibawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun beberapa parti komponen mengambil keputusan keluar daripada gabungan itu baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan segelintir parti itu tidak memberi kesan kepada semangat perjuangan GRS yang tetap berpegang kepada matlamat memperkukuh perpaduan dan memperjuangkan kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.

“Gagasan Rakyat DUN Silam tidak berasa tergugat dengan mana-mana parti yang keluar daripada GRS.

“Fokus kami jelas, terus bersama kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor kerana beliau telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan stabil dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Payang di sini, hari ini.

Tambahnya, kekuatan sebenar GRS bukan hanya bergantung pada bilangan parti komponennya, sebaliknya pada kesetiaan, kejujuran dan semangat kerjasama dalam membangunkan Sabah secara bersama.

Terdahulu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada GRS dan menyatakan hasrat untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Tinggalkan komen