TVS komited kembang pelbagai kandungan siaran

KUALA LUMPUR: TV Sarawak (TVS) komited dalam usaha untuk memperkukuh platformnya sebagai sebuah media penyiaran dinamik yang menyiarkan pelbagai kandungan siaran.

Pengerusi merangkap Presidennya, Datuk Norhyati Ismail berkata TVS akan terus memanfaatkan kekuatan penyiaran tradisional dan digital bagi memastikan capaian kandungan meluas dan berkesan.

“Tahun 2026 dijangka menjadi fasa penting apabila TVS memperkenalkan Gerak Khas 2.0 di samping pelbagai drama tempatan, rancangan realiti, dokumentari dan liputan langsung acara sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya dan Piala Carabao.

“Fokus kami adalah untuk menjadi media yang memahami dinamik Borneo sambil menghubungkan penonton ke seluruh Malaysia dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita semasa sidang media TVS Spotlight 25/26, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, TVS menekankan objektif untuk memperkukuh visibiliti jenama dan menawarkan platform iklan serta penajaan yang lebih menyeluruh.

“Sebagai stesen televisyen yang semakin berkembang di persada nasional, matlamat kami adalah untuk meningkatkan brand visibility TVS, terutamanya di pasaran nasional, serta memperkenalkan kandungan baharu yang segar untuk 2026.

“Melalui pengenalan program dan peluang penajaan ini, kami berharap dapat menarik lebih banyak lagi rakan kongsi yang baharu, sekali gus memperkukuh pengaruh TVS di peringkat serantau dan nasional,” katanya lagi.

Tambah beliau, sejak dilancarkan pada tahun 2020, TVS komited mengangkat identiti Borneo ke pentas nasional melalui kandungan yang meraikan budaya dan warisan tempatan, sambil memanfaatkan kekuatan penyiaran tradisional dan digital untuk menjangkau penonton di seluruh Malaysia dan serantau.

“TVS kekal sebagai saluran yang meraikan budaya, warisan dan identiti Borneo, sambil mengekalkan daya tarikan sejagat.

“Penceritaan tentang tradisi dan sejarah tempatan diterjemahkan melalui program seperti Srawak Regarra dan Sambutan Perayaan Gawai, yang mampu menawan perhatian penonton di seluruh Malaysia serta rantau ASEAN.

“Melalui TVS, kami bukan sahaja meraikan warisan tempatan tetapi juga memperluaskan capaian agar jenama dan penonton di luar Sarawak dapat menikmati pengalaman yang unik,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa TVS juga memperkenalkan pakej penajaan menyeluruh (360°) yang merangkumi platform televisyen, digital, sosial serta papan iklan LED berimpak tinggi.

Katanya, usaha itu adalah hasil kolaborasi bersama rakan media Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan Cats FM.

“Jenama anda bukan sahaja akan dilihat di satu skrin, tetapi di setiap skrin, sama ada di rumah, dalam talian atau di jalan raya. Dengan gabungan kandungan serantau, capaian nasional dan visibiliti rentas sempadan, TVS menawarkan peluang untuk membina hubungan jenama yang kukuh di seluruh Malaysia.

“Selain itu, TVS turut mengukuhkan ekosistem kreatif negara dengan memberi peluang luas kepada produksi tempatan dan bakat baharu. Sehingga kini, lebih 300 vendor tempatan telah bekerjasama dengan TVS, mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk anak seni dan karyawan tempatan.

“TVS komited untuk terus mengembangkan industri kreatif tempatan dan industri pengiklanan, bagi memacu pertumbuhan sektor kreatif serta membina ekosistem media yang mampan di Malaysia,” katanya lagi.

TVS mensasarkan untuk mempunya audien dari seluruh pelusuk negara dan ingin memperluas pengaruh pasaran serantau.

“Dengan capaian yang semakin meluas melalui platform digital, TVS yakin mampu memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu pemain utama industri penyiaran Malaysia.

“Kami yakin, ‘TVS Sportlight 25/26’ ini akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik bersama klien, penaja dan media untuk membina industri penyiaran yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen