Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa pihaknya dalam perancangan untuk mempertimbang usaha meluaskan subsidi bahan api kepada bot penumpang di Sabah dan Sarawak, khasnya di kawasan luar bandar.
“Sebelum ini subsidi yang kita fokus adalah untuk pengangkutan awam dan barangan, tetapi kita akan pertimbang semula kerana kita lihat ada keperluan untuk hal ini diteliti semula.
“Ada kes di luar bandar yang mana sebelum ini tidak termasuk dalam senarai seperti yang Kementerian Kewangan (MOF) tentukan sasaran susbsidi.
“InsyaAllah, kita akan teliti untuk Sabah dan Sarawak serta pulau yang mana bot penumpang perlu dilibatkan untuk subsidi, jadi kita minta agar agensi tempatan negeri masing-masing untuk semak rekod pendaftaran bit penumpang dan dari data ini kita akan atur kaedah terbaik untuk mereka memanfaatkan subsidi ini segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media selepas hadir dalam program Hari Bertemu Pelanggan SPKS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang tadi.
Menurut Armizan, kementeriannya fokus terhadap usaha untuk menangani ketirisan subsidi bahan api melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SPKS) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Katanya, melalui SPKS dan BUDI95, keseluruhan transaksi penjualan dan pembelian dari peringkat syarikat minyak, stesen minyak, syarikat dan individu pengguna akan direkodkan secara digital.
“Pembelian menggunakan kad fleet dalam SPKS untuk syarikat dan menggunakan MyKad dalam BUDI95 untuk individu akan direkodkan dalam sistem yang membolehkan elemen pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara cepat dan berkesan.
“Kita jangkakan, sistem ini akan menyelesaikan isu manipulasi penjualan dan pembelian di seluruh rantaian penjualan dan pembelian termasuk di stesen-stesen minyak seperti yang sering dilakukan oleh mereka yang aktif dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan sebelum ini,” katanya lagi.
Berdasarkan rekod, seramai 27,916 pengguna di Sabah telah menggunakan BUDI95 dengan harga runcit RM1.99 seliter.
Perlaksanaan menyeluruh akan bermula esok (30 September) dan disasarkan, inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada 16 juta pengguna golongan dewasa di seluruh negara.
Armizan turut menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dan manipulasi, penyelewengan atau penyeludupan petrol RON95 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta peraturan yang sedang berkuatkuasa.
“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi individu perseorangan, dan penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.
“Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM2 juta,” katanya lagi.
Setakat 28 September, sebanyak 6,409 syarikat telah berdaftar bagi SKPS yang memberi manfaat kepada 14,527 kenderaan, seluruh negara
“Bagi Sabah, sebanyak 357 syarikat sudah berdaftar dan memberi manfaat kepada 601 kenderaan,” jelas Armizan lagi.
