Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyeru agar rakyat membuat pernilaian saksama terhadap semua pemimpin dari semua parti, khasnya yang sudah lama menjadi wakil rakyat dan mentadbir kawasan.
“Kita harap rakyat buat pernilaian yang sama rata untuk semua parti kerana apa yang utama adalah tengok rekod prestasi dan pencapaian mereka di kawasan.
“Apa yang sudah dilakukan dan dicapai sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan kerana ada antara mereka yang pernah memegang jawatan besar baik di peringkat Persekutuan atau Negeri.
“Inilah pernilaian penting rakyat perlu lihat, apa yang sudah dibuat sejak berpuluh tahun menjadi wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.
Armizan turut menjelaskan bahawa rakyat perlu meneliti dan memahami semua janji dan tawaran yang semua parti berikan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 tidak lama lagi.
“Dengar janji-janji mereka, apa yang mereka sudah buat di kawasan masing-masing yang sudah lama ditakbir dan apa yang mungkin dia mampu buat untuk seluruh negeri Sabah jika dia dipilih menjadi pemimpin, terutama bagi jawatan Ketua Menteri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa GRS akan memfokuskan kepada dua elemen utama untuk kempen pilihan raya akan datang.
“Kita pentingkan dua elemen, yang pertama rekod sepanjang lima tahun kita mentadbir negeri, dan kedua ialah tawaran kita untuk jangka masa lima tahun akan datang jika kita masih diberi mandat untuk mentadbir negeri Sabah,” jelasnya.
Selain itu, Armizan turut memberitahu bahawa PRN17 sememangnya bakal tiba dalam masa terdekat.
“Dalam tempoh terdekat la ni akan bubar, cuma tarikhnya, Ketua Menteri akan mengadap Tuan Yang Terutama (TYT) dan bincang.
“Kita tengok, rakan saingan politik kita sudah mula berkempen dengan segala macam isu dijadikan bahan dan modal percakapan, sampaikan benda yang bukan-bukan pun jadi bahan,” katanya lagi.
Terdahulu, di laman media sosial aplikasi Whatapps tular berkaitan notis kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan pada 3 Oktober depan, sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi dan tanggapan di kalangan rakyat.
