Revolusi Industri 4.0 pacu pendidikan STEM Sabah

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Revolusi Industri 4.0 yang menuntut kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan memperkukuh pendidikan generasi muda sejak di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal, berkata antara bidang baharu yang semakin berkembang seiring dengan perkembangan global termasuk kejuruteraan cip dan teknologi dron, yang kini dimanfaatkan dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perniagaan dan logistik.

Beliau berkata pendedahan awal kepada murid dan pelajar mengenai kepentingan pendidikan STEM mampu melahirkan modal insan berkualiti yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga antarabangsa.

“Negara kini berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0 yang menuntut kepakaran daripada modal insan bertaraf global. 

“Usaha seperti karnival ini memberi ruang kepada pelajar mengenali dan memahami dengan lebih dekat bidang STEM, sekali gus membantu membina masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya, STEM dan TVET Peringkat Kebangsaan 2025 di SMK Terusan, di sini, hari ini.

Katanya, program yang menghimpunkan penyertaan sekolah dari seluruh negara termasuk Pantai Timur Sabah itu wajar diperluaskan, khususnya di kawasan luar bandar bagi memberi peluang lebih ramai pelajar mendekati dunia STEM secara praktikal.

Tinggalkan komen