Jangan terpedaya sentimen anti-Malaya: Anwar

Oleh: Sumayyah Rihanna

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan sentimen anti-Malaya yang boleh menggugat perpaduan dan melemahkan negara.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa berlaku adil terhadap Sabah dan Sarawak dalam setiap dasar, termasuk keputusan berkaitan cukai elektrik serta subsidi.

“Keputusan menaikkan cukai elektrik hanya melibatkan pengguna kaya di Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak tidak dikenakan.

“Bila harga turun, ia turun di semua wilayah. Jadi di mana ketidakadilan itu? Saya orang Malaysia, saya cintakan Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Wira Madani di Pejabat Zon Maritim Sandakan, pagi tadi.

Anwar turut menempelak pihak yang cuba menanam sentimen perpecahan antara wilayah, menyifatkan mereka sebagai perosak yang hanya merugikan rakyat dan negara.

Beliau menegaskan dasar kerajaan berlandaskan keadilan untuk semua tanpa mengira wilayah dan menyeru rakyat agar menolak sebarang usaha mengapi-apikan perpecahan demi kepentingan politik.

Tinggalkan komen