Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Pelaksanaan awal program subsidi petrol Budi 95 berjalan lancar apabila anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati kemudahan itu, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, meninjau sendiri pelaksanaan hari pertama program berkenaan di Stesen Minyak Petronas Jalan Bokara, di sini.
Beliau berkata kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera dipilih sebagai penerima terawal subsidi berkenaan bagi menguji keberkesanan sistem sebelum diperluas kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia mulai 30 September ini.
Katanya, lima kaedah transaksi yang digunakan termasuk MyKad dan aplikasi Setel didapati berfungsi tanpa sebarang masalah.
“Program Budi 95 ini didahulukan kepada polis dan tentera bertujuan untuk melihat sama ada sistem yang digunakan boleh beroperasi dengan lancar tanpa gangguan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan MyKad masing-masing berfungsi untuk mengelakkan masalah ketika membuat pembelian petrol.
“Oleh kerana MyKad menjadi komponen penting untuk mengesahkan status rakyat Malaysia, saya menjangkakan ada kemungkinan gangguan berlaku jika cip MyKad rosak tanpa disedari kerana sebelum ini pembelian tidak memerlukan pengesahan MyKad.
“Sebab itu kita ingatkan lebih awal,” jelasnya.
Saifuddin menegaskan, pelaksanaan awal itu penting untuk menguji keupayaan sistem bagi memastikan ia berjalan lancar apabila diperluaskan kepada jutaan penerima menjelang hujung bulan ini.
