Empat ditahan, aktif aktiviti penyeludupan penyeludup 

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan cubaan penyeludupan dan penyelewengan barangan bernilai lebih RM326,000 dalam operasi khas serentak di Menumbok, Lahad Datu dan Semporna semalam.

Dalam operasi bermula kira-kira pukul 6.05 petang itu, seorang lelaki tempatan ditahan di kawasan Tungku, Lahad Datu bersama sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux yang membawa enam tong drum berisi minyak diesel bersubsidi.

Di Semporna, seorang warga asing pula diberkas ketika cuba menyeludup keluar 104 jerekin petrol di perairan Gelam-Gelam, manakala serbuan berasingan di perairan Kampung Lumanggas menyaksikan rampasan 42,000 batang rokok pelbagai jenama daripada sebuah pumpbot.

Sementara itu, di Menumbok, seorang lelaki tempatan turut ditahan bersama 100 karton minuman keras tidak bercukai yang dibawa menggunakan sebuah kenderaan.

Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kesemua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara, di samping mengalu-alukan kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinggalkan komen