Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Tiga buah bot yang dipercayai digunakan untuk mengangkut minyak bersubsidi ke negara jiran dirampas dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM252,075.25, di sini, kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, sindiket yang terbabit menggunakan penempatan atas air sebagai lokasi stor haram bahan api bersubsidi tidak kesampaian apabila Polis Marin Sabah menggempur kawasan Kampung Batu.
“Operasi yang dijalankan sekitar jam 6 petang oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) Wilayah 4 itu membawa kepada penemuan 327 jerekin berisi petrol yang disorok di beberapa premis serta bot.
“Kita sentiasa memantau kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. PPM Wilayah 4 tetap komited dalam usaha membanteras penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti haram bagi membantu pihak berkuasa mengekang jenayah rentas sempadan.
