KOTA KINABALU: Setiausaha Politik Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua Pemuda MCA Sabah, Roger Yapp Kah Chong membidas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada wakil masyarakat Cina, sambil menyifatkannya sebagai gula-gula politik yang langsung tidak ikhlas.
Roger turut mempersoalkan mengapa tawaran itu hanya dikemukakan sekarang.
“Jika benar ikhlas, mengapa tidak melantik seorang Timbalan Ketua Menteri dari kalangan masyarakat Cina sejak kerajaan ini mula dibentuk?
“Ketika itu beliau mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian. Mengumumkannya sekarang hanya mendedahkan agenda tersembunyi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, tindakan itu jelas menunjukkan pentadbiran GRS lebih mengutamakan kedudukan politik berbanding rakyat.
“Ini bukan keikhlasan; ini politik bermusim. Rakyat Sabah tidak perlukan janji kosong yang hanya muncul apabila kuasa mereka terancam.
“Rakyat perlukan dasar yang konsisten dan benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan harian,” katanya lagi.
Jelas Roger, rakyat sudah muak dengan kerajaan yang sering dikaitkan dengan skandal dan masalah integriti.
“Apabila lebih banyak masa dihabiskan untuk tawar-menawar jawatan daripada menyelesaikan isu asas seperti kos sara hidup, masalah air, elektrik dan infrastruktur, jelas keutamaan mereka bukan rakyat tetapi kuasa,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar tidak mudah terpedaya.
“Apa yang Sabah perlukan ialah kerajaan stabil dengan pasukan berpengalaman, yang mampu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan sebenar.
Tawaran itu hanyalah gimik politik bagi menutup kegagalan pentadbirannya,” ujarnya.
