Produk sejuk beku tanpa lesen bernilai lebih RM132,000 dirampas

Oleh: Sumayyah Rihanna

BEAUFORT: Sebanyak 232 kotak produk sejuk beku pelbagai jenama tanpa lesen dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Veterinar dalam satu operasi di Jalan Tokong Cina, semalam.

Operasi yang dijalankan kira-kira pukul dua petang itu dilakukan hasil maklumat orang awam mengenai sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan produk sejuk beku tanpa kebenaran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua produk terbabit dianggarkan bernilai RM132,905.

“Kes ini disiasat mengikut Enakmen Haiwan 2015 kerana menyimpan produk sejuk beku tanpa lesen sah,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, PPM Wilayah 4 akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan selain tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyimpanan produk tanpa lesen.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Tinggalkan komen