Bentuk nilai intergriti pemimpin negara dari kecil: Hajiji

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa generasi muda perlu dipersiapkan dengan nilai integriti sejak kecil kerana mereka bakal pemimpin yang akan menentukan masa depan negara.

Beliau berkata, kejujuran, amanah dan tanggungjawab mesti dibentuk bermula di rumah, diperkukuh di sekolah serta diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Program Kedai Jujur adalah platform terbaik untuk pelajar mempraktikkan nilai integriti setiap hari. Ia latihan berharga untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia luar yang lebih kompleks,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, mendidik anak-anak agar berpegang pada integriti bukan hanya tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya memerlukan sokongan seluruh masyarakat.

Katanya, budaya integriti hanya dapat dibudayakan apabila semua pihak berganding bahu menjadikannya amalan dalam setiap aspek kehidupan.

Hajiji berkata, memupuk nilai jujur dan bertanggungjawab sejak kecil menjadi asas dalam membina pemimpin masa depan yang berintegriti dan berwibawa.

“Konsep Kedai Jujur ini boleh dijadikan benteng awal bagi menghalang salah laku tidak berintegriti dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan SuriaGroup atas komitmen luar biasa melancarkan program berkenaan, selain menyifatkan kerjasama sektor kerajaan, korporat dan institusi pendidikan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat yang holistik.

Katanya, konsep Kedai Jujur itu sendiri berakar daripada budaya masyarakat Sabah sejak dahulu yang mengamalkan gerai jualan tanpa penjaga, meletakkan barangan bersama tabung bayaran serta mempercayai kejujuran pembeli.

“Budaya ini menjadi asas kepada program Kedai Jujur di sekolah agar nilai tersebut terus hidup dalam kalangan generasi baharu,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM20,000 kepada SK Mutiara bagi membiayai aktiviti sekolah.

Program Kedai Jujur 2025 kini dilaksanakan di 10 sekolah seluruh Sabah termasuk Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, dengan SK Mutiara dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi.

Tinggalkan komen