Shafie bukan penyelamat, tetap arkitek krisis air Sabah: Suhaimi

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menzahirkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai ‘arkitek krisis air Sabah’.

“Jika ada gelaran yang sesuai diberikan kepada Datuk Seri Shafie Apdal, ia bukanlah ‘pembawa perubahan’ seperti yang beliau dakwa dahulu, tetapi ‘arkitek krisis air Sabah’.

“Hari ini, rakyat Sabah bangun tidur bukan lagi bertanya “bila jalan siap,” tetapi “bila air ada.” Di Sandakan, Tawau, Lahad Datu malah di ibu negeri Kota Kinabalu, rakyat setiap hari beratur dengan tong dan baldi, seolah-olah air bersih kini sudah menjadi satu barang mewah.

“Dan punca segala derita ini? Keputusan terburu-buru Shafie Apdal pada tahun 2019 untuk menamatkan kontrak enam syarikat konsesi air yang mengendalikan 58 loji rawatan air di seluruh Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Suhaimi, keputusan itu, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung beban pampasan sebanyak RM315 juta kepada syarikat-syarikat konsesi tersebut.

“Soalnya, apakah ini keputusan seorang pemimpin yang bijak, atau langkah politik yang menjerut leher rakyat sendiri?

“Hari ini, saya bertanya dengan lantang kepada Datuk Seri Shafie Apdal, mengapa projek untuk kepentingan rakyat Sabah dibatalkan tanpa pelan gantian yang jelas?

“Dan kepada Datuk Masidi Manjun, selaku Menteri Kewangan Sabah, apakah pampasan RM315 juta ini sudah selesai dibayar, atau kerajaan Sabah masih terbeban dengan hutang akibat kesilapan Shafie?,” katanya lagi.

Jelasnya, penamatan konsesi dengan alasan untuk menjimatkan itu adalah tidak logik kerana rakyat masih berdepan masalah bekalan air.

“Rakyat terpaksa menadah air hujan, menyimpan air dalam tong biru, malah membeli air dari lori setiap minggu? Adakah itu definisi “penjimatan” versi Shafie?

“Lebih tragis, kadar Non-Revenue Water (NRW) kekal melebihi 50% separuh daripada air bersih lesap entah ke mana, manakala rakyat dipaksa menunggu giliran dengan baldi di tangan.

“Shafie boleh berdalih dengan retorik politik, tetapi fakta tidak boleh dipadam. Beliau membatalkan projek air yang kritikal.

“Beliau meninggalkan beban pampasan ratusan juta ringgit. Dan rakyat Sabah hari ini hidup dengan krisis air yang paling teruk dalam sejarah negeri,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen