KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyatakan sokongan padu kepada Zaidi Jatil sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, untuk Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Sabah (PRU Dewan Negeri Sabah) 2025.
“Sokongan ini diberikan berdasarkan rekod kepimpinan beliau yang konsisten, keberanian mengangkat suara rakyat dan kesungguhan beliau dalam kerja-kerja kemasyarakatan di Kota Marudu, khususnya di kawasan Bandau.
“Sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sabah, beliau telah membuktikan komitmen kepimpinan beliau dalam memperjuangkan isu-isu belia, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi setempat,” kata Ketua-ketua AMK Sabah dan Ahli Majlis Pimpinan AMK Sabah dalam sebuah kenyataan bersama, di sini, hari ini.
Katanya, Zaidi bukan sahaja seorang pemimpin politik, tetapi juga aktivis masyarakat yang sentiasa turun padang bersama rakyat menghadapi cabaran seperti banjir, isu kemudahan asas, memperjuangkan isu kemudahan akses pendidikan, menyantuni orang kampung dan kerap melaksanakan program-program pembangunan belia.
“Keupayaan beliau berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat termasuklah belia, wanita serta komuniti pedalaman membuktikan beliau adalah calon yang dekat dengan denyut hati rakyat.
“AMK Sabah percaya bahawa beliau boleh membawa gagasan politik yang berkemajuan dan menyeluruh, selaras dengan semangat reformasi dan Malaysia MADANI yang diperjuangkan oleh KEADILAN,” katanya lagi.
Selain itu, rekod kerja lapangan Zaidi di Bandau juga turut memperlihatkan keprihatinan tulen terhadap masalah setempat.
“Semua ini menjadikan beliau calon yang bukan sahaja berwibawa, malah mampu membawa suara rakyat Bandau ke Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Dengan ini, AMK Sabah menyeru kepada pucuk pimpinan parti agar Saudara Zaidi diberikan peluang untuk dipilih sebagai calon PH di kawasan DUN N.6 Bandau pada PRN-17 yang bakal menjelang tiba.
“Tiba masanya untuk kita memilih wakilrakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat, membela kepentingan rakyat dan membawa harapan baharu dengan memberikan kepercayaan kepada anak muda untuk bersama memimpin Sabah,” ujar kenyataan itu lagi.
