Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa syarikat telekomunikasi (telco) untuk mempercepat usaha menambah baik rangkaian internet di Sabah, terutama di kawasan luar bandar dan lokasi strategik seperti Pulau Sebatik.
Katanya, semakan di Kampung Sepagaya mendapati menara komunikasi di situ berfungsi dengan baik serta sudah dilengkapi rangkaian 5G, manakala U Mobile dijadual menambah peralatan untuk memperluas capaian.
“Masalah utama di sini ialah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku hingga menjejaskan akses internet.
“Kita akan teliti cadangan pemasangan bateri tambahan supaya talian tidak terputus walaupun berlaku gangguan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui penberita semasa sidang media selepas lawatan kerja di sini, hari ini.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti empat lokasi di sepanjang jalan Tawau–Sepagaya yang menghadapi masalah liputan.
“Dasar kita jelas, di mana ada jalan, di situ mesti ada internet.
“Arahan akan dikeluarkan kepada telco untuk menambah baik rangkaian di kawasan berkenaan,” katanya.
Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa pihaknya sudah mengarahkan MCMC turun ke Pulau Sebatik bagi menyiasat aduan masalah internet termasuk gangguan isyarat dari negara jiran.
“Ada cadangan pemasangan repeater sebagai langkah sementara, namun katanya penyelesaian jangka panjang akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama pihak Indonesia di Kota Kinabalu dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan MyKad berjalan lancar sejak diperkenalkan 31 Ogos lalu, dengan sistem kekal stabil dan jumlah transaksi harian meningkat.
Lawatan dua hari Fahmi ke Lahad Datu dan Kalabakan turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Fauzi Isa.
