Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Pertubuhan Skuad Anak Sabah yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan dengan asas untuk mengangkat suara anak tempatan Sabah serta memfokuskan kepada usaha pembangunan kebajikan dan ekonomi.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Norhaiza Abu Bakar berkata Skuad Anak Sabah adalah platform yang mampu menjadi wadah kepada usaha menggabungkan semua anak Sabah, sekaligus membawa gerakan yang mengubah pemikiran ke arah lebih berimpak positif untuk pembangunan negeri.
“Kita sudah mendapat kelulusan sebagai pertubuhan pada Ogos baru-baru ini dan setakat ini, kita ada seramai 800 ahli bagi kesemua 73 bahagian di seluruh negeri Sabah.
“InsyaAllah, kita sasarkan jumlah ini akan bertambah menjadi 18 ribu ahli, seperti yang kita target pada awal perancangan kita.
“Kita akan fokus kepada usaha kebajikan, pembangunan ekonomi dan kita juga ada mempromosikan peniaga-peniaga yang menjalankan urusan dalam bentuk vendor, yang berdaftar dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sesi sidang media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, perancangan untuk menubuhkan skuad itu sudah dimulakan agak lama dan melibatkan pelbagai kelab lain yang ikut serta.
“Untuk pengetahuan, kita adalah badan NGO, yang mana keahlian kita untuk semua anak Sabah berusia 18 tahun ke atas, sama ada belia atau dewasa, semua boleh ikut serta dalam skuad ini.
“Kita menyokong usaha kerajaan dan kita juga merancang banyak aktiviti dengan kolaborasi bersama badan kerajaan khasnya untuk mengetengahkan aspek kerja-kerja kebajikan yang berkepentingan kepada komuniti,” katanya lagi.
Tambah beliau, pemilihan warna biru sebagai warna Skuad Anak Sabah adalah simbolik kepada mesej perpaduan dan penyatuan dalam kerjasama.
“Kita pilih warna biru kerana warna ini adalah lambang perpaduan, kita ada pelbagai bangsa, etnik, budaya dan agama di Sabah, maka inilah sebab kita memilih warna biru sebagai warna kita.
“Semoga usaha penubuhan Skuad Anak Sabah akan mendapat perhatian ramai dan mampu mewujudkan kerjasama kukuh daripada pelbagai generasi serta lapisan masyarakat,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden II, Marlina Madjid pula memberitahu bahawa majlis pelancaran Skuad Anak Sabah dijangka bakal diadakan pada Oktober depan di Stadium Badminton Kompleks Sukan Likas.
“Untuk pengetahuan semua, majlis pelancaran kita akan berlangsung nanti dan kita turut memberi penghormatan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk turut serta bersama kita.
“Kita akan menjemput ikon-ikon belia dan anak Sabah yang menjadi idola dan ikut sama dalam acara kita pada ketika itu, insyaAllah,” katanya.
Tambah Marlina, Skuad Anak Sabah mempunyai empat teras perjuangan termasuk kebajikan pelbagai lapisan, menyemai semangat patriotisme, membentuk perpaduan pelbagai etnik dan memperkasa ahli-ahli skuad.
