Langkah Kinabalu bukan pengkhianatan, tapi ikhtiar bermaruah: Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa ‘Langkah Kinabalu’ adalah sebuah ikhtiar bermaruah yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) kerana kepimpinan Kerajaan Negeri sendiri yang rapuh.

“UMNO Sabah teguh dengan autonomi dan ‘Langkah Kinabalu’ bukan pengkhianatan, sebaliknya jawapan kepada kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan GRS adalah bukti kukuh bahawa UMNO Pusat menghormati autonomi UMNO Sabah dan inilah pengiktirafan bahawa suara, maruah dan hak orang Sabah mesti ditentukan oleh UMNO Sabah sendiri. 

“’Langkah Kinabalu’ adalah satu ikhtiar bermaruah kerana kita melihat sendiri bagaimana kepimpinan ketua yang gagal, rapuh dan tidak berintegriti,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Bung, pihak yang menunding jari kepada UMNO dengan mengatakan pemimpin UMNO sebagai pengkhianat adalah mereka yang lupa diri.

“Jangan cuba menuding jari kepada UMNO. Pengkhianatan sebenar bermula pada hari pertama jemaah menteri Sabah mengangkat sumpah di Istana Negeri, apabila Hajiji menipu saya berhubung jawatan Menteri kabinet dengan menukar jawatan yang telah dipersetujui bersama dengan jawatan lain tanpa pengetahuan UMNO Sabah.

“Ketika itulah Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan wajah sebenar mereka politik yang dibina atas muslihat dan penipuan,” katanya lagi.

Jelas Bung, dia sedia untuk berdebat dengan mana-mana pihak yang mempertikai usaha perjuangan politik dan hanya gah di dalam platform media sosial.

“Saya tegaskan di sini, saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja mengenai ‘Langkah Kinabalu’ kepada sesiapa saja, kita boleh berdebat di mana sahaja, bukan hanya menjerit di TikTok seperti ayam berkokok di waktu subuh tetapi takut turun ke gelanggang.

“Politik bukan pentas jual bahasa basi di media sosial, ia medan hujah dan kebenaran,” jelasnya lagi.

Selain itu, Bung turut memberitahu bahawa beliau ada berkunjung ke DUN Sebatik dan menyaksikan perjuangan akar umbi di kawasan itu masih kukuh terhadap UMNO.

“Semalam saya berada di DUN Sebatik, sebuah kubu kuat BN yang menjadi saksi setia perjuangan.

“Saya yakin bahawa DUN Sebatik akan kembali dimenangi BN pada PRN ke-17 nanti dan rakyat Sebatik tahu menilai siapa yang konsisten memperjuangkan nasib mereka, dan siapa pula yang hanya muncul ketika mahu mengaut kuasa,” katanya. 

Tambah beliau lagi, BN Sabah tidak pernah lari daripada prinsip dan tidak akan akur kepada kepimpinan tidak telus dan rakus kepada kuasa semata-mata.

“Kami tidak akan menjadi pak turut kepada politik lompat, tidak akan bersekongkol dengan penipuan, dan tidak akan tunduk kepada kerakusan kuasa. 

“Dalam politik, ada peribahasa lama yang mengingatkan kita “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” 

“Biarlah nama UMNO BN Sabah kekal harum kerana mempertahankan maruah, bukan busuk kerana bersekongkol dengan pengkhianatan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen