Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun memberitahu bahawa Kanyon Imbak mempunyai potensi besar kerana lokasi strategik yang berada dalam aspek pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan alam sekitar, ekopelancongan dan pembangunan lestari.
“Kawasan Konservasi Kanyon Imbak merupakan antara khazanah alam semula jadi negeri Sabah yang membentuk sebahagian daripada landskap besar DaMaI iaitu gabungan tiga kawasan konservasi iaitu Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak.
“Landskap yang saling berhubung ini merupakan benteng terakhir hutan hujan tropika di rantau ini, khazanah yang mempunyai kepentingan sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Seminar Tinjauan Hidupan Liar & Sumber Alam Kawasan Konservasi Kanyon Imbak, di sini, hari ini.
Menurut Masidi, Kanyon Imbak adalah sebuah kawasan yang menyediakan perkhidmatan ekosistem penting daripada penyimpanan karbon, tadahan air bersih, sehinggalah kawalan iklim yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Sabah, dan seluruh Malaysia.
“Kanyon Imbak juga merupakan penempatan komuniti daerah Tongod seperti orang Sungai, Kadazandusun, Murut dan lain-lain, yang kaya dengan tradisi dan pengetahuan turun-temurun dalam menguruskan hutan secara lestari, yang mana ia melengkapkan nilai Kanyon Imbak bukan sahaja dari segi biodiversiti tetapi juga warisan budaya,” katanya.
Lebih 120 peserta dari pelbagai agensi terlibat dalam Tinjauan Hidupan Liar dan Sumber Kanyon Imbak, termasuk Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Taman-Taman Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), World Wildlife Fund (WWF), HUTAN, Sabah Environmental Trust (SET), serta Kumpulan Yayasan Sabah (KYS).
Masidi turut menzahirkan keyakinan beliau terhadap usaha tinjauan yang dilaksanakan itu.
“Saya yakin hasil tinjauan ini mengesahkan bahawa landskap DaMaI khususnya Kanyon Imbak adalah antara kawasan yang terkaya dengan biodiversiti di Sabah.
“Saya turut dimaklumkan, antara penemuan penting adalah termasuk lebih daripada 175 spesies burung direkodkan, termasuk semua lapan spesies enggang di Sabah, juga lebih daripada 40 spesies mamalia, termasuk Orangutan Borneo, Gajah
Kerdil Borneo, Tenggiling Sunda, Banteng, Beruang Matahari, dan Harimau Dahan yang kebanyakannya disenaraikan sebagai spesies terancam di peringkat global.
“Selain itu, kepelbagaiaan spesies amfibia, reptilia, serangga dan kulat yang sangat tinggi, yang membuktikan kekayaan ekologi kawasan ini,” katanya lagi.
Selain itu, Masidi juga memuji usaha dan kerja keras pasukan yang membuat tinjauan yang berkepentingan kepada ekologi Kanyon Imbak itu.
“Ini penting kerana fungsinya sebagai koridor biologi yang menghubungkan Lembah Danum dan Lembangan Maliau memboleh pergerakan hidupan liar, pertukaran genetik dan kesinambungan spesies untuk jangka masa panjang.
“Kajian ini turut menyerlahkan potensi besar Kanyon Imbak dan landskap DaMaI dalam penyelidikan, pendidikan alam sekitar, ekopelancongan dan pembangunan lestari.
“Dengan keindahan air terjun, kawasan ‘salt lick’, dan laluan hidupan liar, kawasan ini berpotensi menjadi tarikan ekopelancongan bertaraf dunia serta dengan adanya Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak bersama Pusat Pembelajaran Lembah Danum dan Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau, menjadikan DaMaI sebagai makmal hidup untuk aktiviti inovasi penyelidikan, pendidikan, dan pemuliharaan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Masidi menegaskan bahawa usaha pemuliharaan seperti tinjauan itu memerlukan kos yang tinggi dan sumber pembiayaan yang mencukupi.
“Maklumat yang dikumpul daripada tinjauan ini adalah asas kepada pengurusan yang mampan, ia membantu kita membuat keputusan yang berlandaskan bukti, melindungi warisan alam, dan memastikan hasil hutan serta ekosistem dapat dimanfaatkan secara lestari untuk generasi akan datang.
“Dalam hal ini, bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia kerana telah memberikan sokongan dana melalui Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) dan tidak lupa juga kepada
Jawatankuasa Pengurusan Kanyon Imbak dan Lembangan Maliau yang turut memberikan dana untuk menjayakan tinjauan ini.
“Sumbangan ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara pelbagai pihak memainkan peranan penting dalam menjamin kelestarian kawasan konservasi kita,” ujar beliau lagi.
