Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang wanita berusia 23 tahun ditahan polis kerana dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan semasa Himpunan Solidariti ‘Justice for Zara’ di sini, Ahad lalu.
Suspek diberkas sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi di kawasan Batu 4, Jalan Apas, hasil siasatan lanjut yang dijalankan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, wanita berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Penahanan boleh dibuat walaupun tanpa waran. Ketika ini polis sedang merakam percakapan suspek dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam sebuah kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima tiga laporan mengenai ucapan suspek yang didakwa berunsur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Musa Aman semasa himpunan tersebut.
Menurut Jasmin, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran awam, khususnya menerusi ucapan terbuka.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu,” katanya.
