Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Tiga lelaki dipercayai dalang kepada sindiket pengedaran dadah di Sabah berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di Ranau dan Telupid oleh Polis Sabah, 28 Ogos lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pasukannya merampas dadah jenis syabu seberat 41.63 kilogram dengan nilai RM1.32 juta.
“Pasukan kita membuat pemantauan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di sebuah stesen minyak di Ranau pada pukul 8.15 pagi dan menemui bagasi hitam dengan 20 bungkusan plastik teh berwarna kuning, dengan berat sekitar 21.3 kilogram dengan anggaran nilai RM681 ribu.
“Seterusnya, kita juga menahan dua suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun dan 26 tahun di Telupid di perkarangan sebuah masjid pada pukul 9.20 pagi, serta menemui 20 bungkusan plastik syabu dengan berat kasar 20.33 kilogram, bernilai sekitar RM650,560,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, petang tadi.
Turut serta ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.
Menurut Jauteh, suspek pertama berasal dari Miri, Sarawak dan ditahan reman hingga 5 September.
“Suspek kedua dan ketiga pula adalah berasal dari Lahad Datu dan Tawau, juga ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kesemua suspek adalah ‘runner’ dan kita percaya, mereka membekalkan dadah ke Pantai Timur, dari Kota Kinabalu,” katanya lagi.
Tambahnya, kesemua suspek turut mengaku terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu.
“Selepas kita semak, dua suspek ada rekoad lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dan seorang lagi suspek tiada sebarang rekod.
“Kesemua hasil dadah yang dirampas boleh digunakan oleh hampir 160 ribu penagih dadah dalam satu masa,” jelasnya.
Kes disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
