Lebih 500 peserta meriahkan Festival Seni & Budaya Bajau

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Lebih 500 peserta dari sembilan negeri seluruh negara hadir memeriahkan Festival Seni dan Budaya Bajau Malaysia 2025 yang melabuhkan tirai  selepas berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Ogos di Dewan Belia Semporna.

Acara yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kreatif Seni Bajau Semporna dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kerajaan Negeri Sabah itu sekaligus mengangkat daerah itu sebagai pusat warisan Bajau peringkat kebangsaan.

Perasmian pembukaan disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Semporna, Samsiah Sadan, manakala majlis penutupan dirasmikan oleh wakil Gerakan Agenda Budaya Sama-Bajau Progresif Semporna, Datuk Dr Sa’adilah Abdillah.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk Tarian Etnik Perpaduan Malaysia, Busana Perpaduan Etnik Malaysia, Kulinari Etnik Malaysia, pertandingan mewarna kanak-kanak, nyanyian lagu patriotik serta tarian igal-igal.

Festival turut disemarakkan dengan forum budaya, senaman budaya, kuiz interaktif, cabutan bertuah dan perarakan Hari Kemerdekaan di sekitar Semporna.

Kumpulan Budjang Aura Tanjak Hitam dari Sabah muncul juara Tarian Etnik Perpaduan Malaysia, manakala Gandik Raisha dari Sabah menjuarai kategori kulinari. 

Pertandingan Busana Perpaduan dimenangi Melsahara Marsal dari Sarawak (kategori dewasa) dan Nur Qaila Nasuha Abdullah dari Selangor (kategori kanak-kanak).

Anugerah Tokoh Warisan, Seni dan Budaya Malaysia 2025 pula diberikan kepada Tuan Biskai Mastal dan Kumar Munju, manakala Anugerah Ikon Budaya diserahkan kepada Norijah Masmud.

Dengan sambutan menggalakkan, Festival Seni & Budaya Bajau Malaysia dicadang untuk dianjurkan sebagai sebuah acara tahunan bermula tahun hadapan bagi terus mengangkat Semporna sebagai pusat seni budaya berprestij negara.

Tinggalkan komen