Dua warga asing ditahan, RM70 ribu syabu turut dirampas

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah apabila merampas syabu bernilai RM70 ribu dalam satu serbuan di Kampung Halo, di sini.

Dalam operasi hasil risikan yang dijalankan sekitar pukul 6.40 petang pada 28 Ogos lalu, pihak berkuasa menahan dua lelaki warga asing berusia antara 46 hingga 58 tahun, disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran dan penagihan dadah membawa kepada penemuan syabu seberat 1,019.93 gram.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM70 ribu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras penyeludupan serta pengedaran dadah di Sabah.

“PPM akan terus komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara,” katanya.

Tinggalkan komen