Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Perairan Semporna kembali menjadi tumpuan apabila 23 kapal layar antarabangsa berlabuh di Jelly Sea Resort sempena Sail Malaysia Passage to the East Yacht Rally 2025 (Sabah Chapter) yang berlangsung semalam.
Acara pelayaran berprestij itu dianjurkan oleh Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Berhad dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), sekaligus mengangkat Semporna sebagai salah satu destinasi persinggahan utama pelayar antarabangsa.
Pengerusi koperasi, Kerino Jelani berkata program berkenaan bukan sahaja mempromosikan keindahan laut dan gugusan pulau Semporna, malah memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat melalui sektor pelancongan koperasi.
“MYANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd., anak syarikat ANGKASA, turut memperkenalkan pakej Kerino Reef Coral Planting selama tiga hari dua malam yang berkonsepkan pemuliharaan laut dan pelancongan berasaskan komuniti bersama rakan strategik One Ocean Empire PLT,” katanya.
Kemeriahan acara turut diserikan dengan pameran serta jualan Batik Sabah rekaan khas pereka tempatan, Yuslan Jafri yang mendapat sambutan pelayar Sail Malaysia.
Selain itu, Kerino turut menyampaikan penghargaan kepada Pengarah Pengurusan Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha, atas kelancaran pengurusan acara.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Tengku Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood kerana memperkenalkan Sail Malaysia kepada koperasi berkenaan.
Menurutnya, penganjuran acara itu adalah bukti jalinan kerjasama koperasi mampu memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan maritim bertaraf dunia.
“Selain itu, kita juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan marin dan pelancongan lestari.
“Sail Malaysia yang kini memasuki edisi ke-18 terus menjadi platform menghubungkan komuniti pelayar antarabangsa dengan keunikan budaya, keindahan laut serta keramahan masyarakat tempatan,” katanya lagi.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Hafizul Hafiz.
