KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa kepimpinan yang menerajui negeri perlu lebih tegas dan bekerja keras bagi merealisasikan apa yang diinginkan oleh rakyat Sabah.
“Kita perlu pemimpin yang kuat bekerja, jika tidak ada semangat, jika tidak kuat, bolehlah bersara.
“Pengalaman panjang bertukar-tukar parti seharusnya menjadikan pemimpin matang dan lebih berani dalam mengatur langkah untuk membangun negeri, tetapi sebaliknya.
“Malangnya, pengalaman panjang ini tidak pernah diterjemah kepada kesejahteraan rakyat Sabah, sebaliknya hanya meninggalkan kegagalan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini hari ini.
Tegas beliau, pentadbiran hampir lima tahun Kerajaan Negeri semasa masih belum menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
“Hampir lima tahun menerajui kerajaan negeri, rakyat terus berdepan jalan raya rosak, bekalan elektrik tidak stabil, krisis air berpanjangan serta kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 7.7 peratus pada suku keempat 2024.
“Ditambah pula dengan skandal lesen mineral yang mencalar integriti, pentadbiran Kerajaan Negeri jelas tidak mampu dipertahankan.
“Hakikatnya, pengumuman Ketua Menteri untuk “berehat” selepas PRN17 bukanlah pengunduran luhur, sebaliknya strategi keluar untuk mengelak beban politik lebih besar,” katanya lagi.
Jelas Suhaimi, jika seorang ketua atau pemimpin sudah penat dan tidak ada kudrat untuk memimpin, maka pemimpin itu disarankan untuk berehat dan jangan membebankan rakyat.
“Kalau sudah penat, lebih baik berehat terus, tidak perlu tunggu PRN17 untuk yang terakhir, teruslah duduk di rumah dan jangan terus membebankan rakyat dengan kegagalan.
“Kita tidak mahu Kerajaan Negeri terus ditakbir oleh mereka yang gagal menjaga integriti, gagal menyelesaikan masalah asas rakyat, dan gagal membentangkan pelan ekonomi realistik.
“Sabah memerlukan kepimpinan baharu yang bersih, berwibawa, dan benar-benar fokus kepada penyelesaian masalah rakyat, bukan lagi janji kosong dan gimik pelaburan tanpa hasil,” ujar beliau lagi.
