Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu selepas didapati bersalah membunuh rakan asramanya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika membuat keputusan berkata, 12 lagi tertuduh yang terlibat dalam kes sama masing-masing diperintah menjalani hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Mahkamah mengambil kira faktor umur kesemua tertuduh yang ketika kejadian berusia antara 16 hingga 19 tahun, selain daripada meneliti laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Terdahulu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding 22 Ogos lalu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.
Dalam kejadian tragis itu, mangsa ditemui meninggal dunia dengan 102 kesan lebam, lima luka melecet.
Tambahan lagi, terdapat tanda-tanda mangsa mempertahankan diri di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu antara pukul 9 malam, 21 Mac hingga pukul 7.38 pagi, 22 Mac 2024.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif bersama Ng Jhun Tao.
Selain itu, Asisten Superintendan Suddin Tjinke bertindak sebagai pegawai penyiasat.
