Ibu bapa teladan didik anak-anak, semai empati dan elak jadi pembuli

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Ibu bapa diseru untuk menjadi teladan dengan mendidik anak-anak nilai empati sejak kecil sebagai usaha untuk memupuk sifat positif anak-anak sekaligus mengelakkan mereka membesar sebagai pembuli.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din berkata kanak-kanak dan remaja belajar bukan sekadar melalui arahan, tetapi lebih banyak melalui teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa di rumah. 

“Isu buli yang semakin mendapat perhatian masyarakat menuntut semua pihak, khususnya ibu bapa, memainkan peranan sebagai contoh teladan terbaik kepada anak-anak.

“Kita kena semai nilai murni, mesti pupuk dan lahirkan sifat empati dalam kalangan anak-anak agar mereka ada perasaan untuk kasih kepada semua makhluk Tuhan yang ada di sekelilingnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini. 

Menurut beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, sikap dan teladan ibu bapa bersikap dirumah adalah cerminan dalam usaha membentuk identiti anak-anak.

“Dengan sikap saling hormat, berhemah, dan mengawal emosi dengan baik, anak-anak cenderung meniru sikap positif itu dalam pergaulan harian.

“Pendidikan awal di rumah adalah benteng utama. Apabila ibu bapa bersikap tegas tetapi penuh kasih sayang, anak-anak akan memahami sempadan jelas antara betul dan salah.

“Ini secara langsung boleh mengekang kecenderungan untuk membuli atau menjadi mangsa buli, seperti yang dijelas pakar psikologi kanak-kanak,” katanya lagi.

Tambahnya, beberapa cabaran tetap wujud dalam seperti tekanan hidup, kesibukan pekerjaan, dan kurangnya masa berkualiti bersama anak.

“Ini sering kali menyebabkan ibu bapa terlepas pandang aspek pembentukan emosi. 

“Walau bagaimanapun, ibu bapa mesti berusaha dan tidak memandang remeh perbuatan buli dan semailah nilai positif dalam amalan seharian agar anak-anak dapat mencontohinya.

“Jika ada kesalahan yang dilakukan oleh anak, berikan pengajaran sewajarnya dan jangan abaikan keperluan untuk mendidik anak secara tegas,” jelasnya lagi.

Katanya, pengaruh rakan sebaya serta media sosial juga menjadi faktor kuat yang boleh menenggelamkan nilai baik yang diterapkan oleh ibu bapa. 

“Justeru, pendekatan yang seimbang penting, tidak terlalu memanjakan dan tidak terlalu keras, ini yang diperlukan bagi memastikan anak membesar dengan empati, disiplin, dan rasa hormat terhadap orang lain,” tambahnya.

Jelas Halizah lagi, usaha membendung budaya buli tidak boleh diletakkan di bahu pihak sekolah semata-mata tetapi keseluruhan masyarakat di sekeliling komuniti.

“Peranan ibu bapa sebagai model teladan sangat penting, di rumah anak melihat komunikasi penuh marah dan kekerasan, mereka akan membawa ‘bahasa kekerasan’ itu ke luar. 

“Tetapi jika mereka melihat kasih sayang, hormat dan kawalan emosi, budaya itu pula yang akan dibawa ke sekolah dan masyarakat.

“Sikap, teladan, dan didikan ibu bapa menjadi asas pembinaan generasi yang berakhlak, jadi kita perlu sedar bahawa pentingnya semua ini dimulai dari institusi kekeluargaan, kemudian komuniti, sekolah dan semua pihak,” ujarnya lagi. 

Tinggalkan komen